29 November 2018

SURAT UNTUK HANAN : PART 1

Assalamualaikum..

Hai nanan, apa kabar hari ni. Lama dah nak utus surat untuk nanan. Hari ni baru berkesempatan. Che ning dan ayah z baik-baik saja. Cuma ahmad sejak Sabtu 24.11.2018 sehabis Majlis Anugerah Kecemerlangan sekolahnya mula demam sampai hari ni masih tak kebah lagi. Semalam ayah z dah bawa ke klinik, dah ambil sampel darah untuk check denggi. Alhamdulillah tiada. Doakan supaya ahmad lekas sembuh. Dah 2, 3 malam che ning tak lena tidur.

Sebenarnya che ning menulis surat ni untuk merakamkan terima kasih kepada hanan, ummi dan abah nanan kerana sudi menerima kami menjadi tetamu ke rumah nanan pada 2.11.2018 hingga 6.11.2018. Bukan setakat menjadi tetamu di rumah malahan sudi membawa kami berjalan-jalan ke Kundasang, Taman Sepilok, Taman Buaya dan Tagal Sg Moroli di Kg Luanti Baru Ranau.

Pelbagai perkara terjadi dari hari pertama perjalanan. Pengalaman yang melucukan, mendebarkan, sedikit kekhuatiran, teruja, terdera perasaan semuanya ada, yang terangkum akhirnya menjadi sebuah keseronokan yang tak mungkin che ning lupakan sampai bila-bila.

Sehari sebelum memulakan perjalanan che ning sudah siap mengemas pakaian dan menyemak apa yang terlebih atau terkurang untuk dibawa. Pakaian ...ok, kasut..hmmm, yang ni tak ok. kasut tinggi yang che ning selalu pakai ke ofis dah reput tapaknya. Tak selamat lagi untuk dipakai. Masa dah suntuk untuk ber'shopping' kasut. Teringat ada lagi sepasang kasut dalam kotak tersimpan elok, pernah pakai sekali semasa berkursus beberapa tahun lepas dan tak pakai lagi selepas itu. Jadi kasut itulah chening pakai saat memulakan perjalanan. Pagi Jumaat 2.11.2018 kami bertolak dari rumah dengan kereta ke Stesen Bas Amanjaya. Sebelum menaiki bas, kami bersarapan dulu di Restoran Mamak yang berdekatan. Sehabis sarapan, semasa menapak keluar dari restoran che ning sudah rasa kelainan dengan kasut yang dipakai. Tengah-tengah berjalan tu tiba-tiba tapak kaki terasa tinggi rendah. Toleh belakang rupanya tapak dah tercabut sebelah. Menapak selangkah ke depan sebelah lagi satu tercabut juga. Kat situ juga che ning ketawa berdekah-dekah dengan ahmad sekali. Mujur tak terguling-guling. Ok..tenang. Depan restoran ni ada Mydin tapi belum buka lagi. Dengan kasut tanpa tapak chening masih boleh berjalan tetapi hanya untuk sampai ke kereta sahaja...naik bas ke Klia?..oh tidak!!!

Nanan nak tahu apa terjadi kesudahannya...tunggukan surat chening yang seterusnya. Ada masa terluang chening tulis lagi. Akan chening rakamkan segala kenangan perjalanan ini dalam surat-surat lain nanti.

Sekian, untuk kali ini.

Yang menyayangi semua,

Che Ning
28.11.2018


13 September 2018

Ibu Mertuaku Yang Dikasihi

Tepat jam 4.20 petang Khamis 30.8.2018 bersamaan dengan 18 Zulhijjah 1439 Hijrah telah kembali ke Rahmatullah ibu mertuaku yang dikasihi Ramlah binti Muhammad. Ya Allah, ampuni dosa-dosanya..tempatkan mek di kalangan hambaMu yang diredhai.

Di hujung Anjung Dudukmu
Berat hati Melepaskan Yang Pergi
Di hujung Anjung Setiamu
Menanti Kami Kembali
Setiap Saat Berteman Sunyi
Berharap Suara Suara Berbisik
Berkisah Cerita
Berkisah Ceria
Berkisah Bahgia
Kini...
Di Hujung Anjung Dudukku
Redha Melepaskan Yang Pergi
Di Hujung Anjung Dudukku
Menanti Yang Takkan kembali


20 August 2018

Alam Ria Ahmad 2018

 Sabtu 11.8.2018 hari yang bertuah untuk ahmad. Bukan sahaja dapat medal sebab berjaya tamatkan larian 5 km di Padang Esplanade Taiping. Sehabis acara di padang kami berkejar ke Bukit Merah Lake Town kerana sekejap lagi ahmad akan bertanding acara Kalam Jamaei. Cikgu dah mencari ahmad seorang je belum sampai lagi. Sesampai di Bukit Merah cepat-cepat kami menukar persalinan ahmad. Terima kasih Cikgu dan ibu-ibu yang lain turut membantu ahmad.
Bersedia!


Seminggu yang lepas anak-anak ini telah bertanding acara  ini pada peringkat zon. Alhamdulillah dapat tempat pertama, itu yang layak ke peringkat negeri pula dan bertanding di sini. Berkebetulan pula dengan tarikh acara larian yang kami daftar tanpa ketahui bila  tarikh dan di mana
program Alam Ria akan berlangsung.

wefie dulu sebelum bertanding peringkat zon






Seterusnya, tak lama menunggu akhirnya tiba giliran team ahmad mempersembahkan Kalam Jamaei. Belum sempat pengadil menjemput naik ke pentas, kome dah beratur naik ya. Excited ! Ummi kagum dengan kawan ahmad si Aqeef, pandai dia conduct..kena tegur dengan pengadil pun masih lagi cool. Persembahan berjalan lancar. Alhamdulillah. Terima kasih cikgu kerana susah payah melatih anak-anak pasti. Akhirnya penat lelah anak-anak berlatih dan cikgu melatih membuahkan hasil. Walaupun tidak berjaya mendapat tempat pertama namun kami tetap berbangga dengan pencapaian anak-anak mendapat tempat ketiga. Tahniah cikgu-cikgu dan anak-anak pasti Hidayatul Quran.


17 August 2018

FUN RUN MERDEKA 2018

Sabtu 11.8.2018 bertempat di Padang Esplanade Taiping kami sekeluarga menyertai Larian Merdeka anjuran Amanah Ikhtiar Malaysia. Ini adalah kali ketiga pada tahun ini selepas Mendaki Bukit Larut  dan Charity Run anjuran Toyo Tyres. Menyertai aktiviti sebegini menjadi kegemaran sejak bertambah usia ni. Maklumlah, menjaga kesihatan la katakan! Menyertai kami juga sanggup datang dari jauh kakza dan keluarga, juga cik siti. Dah jadi macam family gathering pulak kali ni.

Pagi-pagi selepas solat subuh terus bertolak ke Taiping. Program start jam 7.00 pagi, kami sampai tepat pada masa. Warm Up sekejap, 7.30 larian bermula. Aku lari dengan ahmad membawa bersama bekalan pisang kutnya ahmad lapar dan penat. Abahnya, ayah aziz dan che su dah ke depan mengejar medal😊😊😊. Cik za dan 2 puteri ketinggalan kat belakang. Lari..lari..dah penat jalan pulak...dan lari lagi..dan jalan. Habis pisang sebiji dah bertenaga pulak si ahmad ngajoknya ummi berlari. Setiap kali jumpa check point mesti nak tanya jauh lagi ke tidak. Akhirnya kami sampai ke garisan penamat. Ahmad masuk lorong lelaki dapat pulak dia medal, dan ummi masuk lorong kategori wanita habis pulak medalnya. Kataku padanya...'ahmad, ummi sedih tak dapat medal'. Untuk sedapkan hatiku katanya..'takpelah ummi, ummi ambil je ahmad punya'. Baiknya anak ummi nih. Menanti di tengah padang, abah, ayah aziz dan che su memegang medal dengan bangganya. Sekejap lepas tu sampai pula cik za bersama puteri-puterinya tak lain tak bukan kak fatin dan kak izian. Kak izian dah seronok join acara ni, nak join juga lain kali. Kan Cik dah kata, bukan nak kurus je nak sihat je, seronok yang penting. Nanti cik tengok-tengok lagi event semacam ni kat mana-mana kita gi sesama. Sesama kurus sesama comel sesama sihat.

08 August 2018

Potluck Kasih Sayang Untuk KakNor


08.08.2018, pada tarikh ulangtahun kelahiran KakNor..kekawan mengadakan sedikit jamuan surprise kekononnya.

Alhamdulillah dapat merasa sedikit sebanyak menu yang dibawa , sedap semuanya.




Terima kasih Yus untuk gambar ini





Ketahuilah kakak-kakak dan adik-adik semua, setiap saat dan apa saja yang kita lalui bersama menjadi kenangan tak ternilai untuk kita semua.

Semoga kita semua dikurniakan keberkatan. Happy birthday KakNor sayang.

02 August 2018

Brownies Semarak Rindu Di Hati

Sesiapa yang mengenali tahu kegilaanku membuat kek coklat yang pernah dikongsikan resepinya dalam entry blog ini lama dahulu. Namun sejak setahun lepas kecintaanku berpaling arah. Sekarang aku tak mandang lagi kek lain. Ovan kat teratakrose hanya menerima kek brownies sahaja untuk singgah bertamu di dalamnya selama 50 minit.

Selain untuk menjamu penghuninya ada ketika masa mengizinkan aku mengambil tempahan dari teman-teman juga. Di sini ingin kukongsikan resepi brownies yang tersangat sedap kepada teman-teman di luar sana yang ingin mencubanya. Selamat Mencuba!


Bahan-bahan Brownies :

400gm Coklat Masakan
250 gm buttercup (asingkan 1 sudu besar untuk topping)
50gm tepung naik sendiri
50gm tepung gandum biasa
20gm serbuk koko
250gm gula perang
6 biji telor saiz B
Sedikit esen vanilla
Segenggam badam cincang@kekacang(ikut suka)

Cara-cara :
1. Coklat masakan, buttercup dan gula perang satukan dalam satu bekas dan masak secara double boil sehingga cair semuanya. Sejukkan sekejap.
2. Masukkan telur dan esen ke dalam adunan coklat, kacau sebati.
3. Masukkan tepung gandum dan serbuk koko, kacau sebati.
4. Akhir sekali masukkan kekacang, kacau sebati.
5. Adunan dipindahkan ke dalam acuan bersaiz 10 x 10, bakar dalam suhu 170 selama 50 minit.

Bahan Topping :
250 ml whipping cream
300 gm coklat masakan (potong kecil)
satu sudu besar buttercup (jangan penuh)

-Masak whipping cream atas api sederhana sehingga gelegak. Tutup api dan masukkan coklat bersama buttercup. Kacau sehingga cair semua. Siap.





11 July 2018

Ketupat Oh Ketupat





Semenjak balik dari kampung selepas cuti berhari raya boleh dikatakan tiap-tiap minggu aku mengayam ketupat...bukan membawang ye! Dari tak pandai menjadi mahir pulak rasanya dah mengalahkan mr somi. Ada ketika aku pulak mengajar dia. Haii..tak sangka betul. Terima kasih Mek Jarah kerana menurunkan petua membuat ketupat. Menjadi sungguh. Asasnya bagi sekilo beras pulut mesti arung dengan segelas santan pekat. Gula 2 cawan, garam 2 sudu rata.



Esok nak buat ketupat lagi atas request sempena sambutan raya tak habis-habis sekolah mr somi dan sekolah adik. Selagi tak habis bulan syawal ni mikior nak makan je. Khamis besok kalau takde aral kekawan boleh merasa nasi dagang pulak.








Ketupat minggu keempat bulan Syawal, 3 kilo beras pulut ...jangan tak percaya!










29 June 2018

Sambutan Hari Raya 2018

Sate, lemang, nasi himpit, laksa, kuah kacang, lontong, macam-macam biskut dan yang paling istimewa mesti la brownies ...antara juadah sambutan raya hari ni di sekolah. Ahmad pun menumpang sekaki aku bawa untuk sama-sama merasai sambutan raya..jadi tak ke sekolah le dianya hari ni. Minggu depan boleh la mula berpuasa enam pulak..insya allah. Dua minggu ni penuhi undangan majlis raya dulu.


Kalau kak nanan baca post ni, brownies kat depan dalam gambar tu che ning yang buat semalam tau. Rasanya meletop sangat... terlebih coklat!

27 June 2018

Sesuatu Yang Hilang


Alkisahnya pada hari raya yang ketiga kami sekeluarga pergi bermandian di pantai Irama Bachok, tak sampai 1 km jaraknya dari rumah. Punyalah seronok mandi tak ingat dunia sampai terseliuh kaki seminggu tak hilang. Selesai mandi dengan kusut masai basah kuyup kami beratur balik ke rumah cepat-cepat sebelum pengunjung lain datang take over kawasan pantai nan indah ni. Dekat rumah kami sambung balik buat kerja kerja di dapur sediakan apa yang patut untuk sambut tetamu datang beraya, Pastinya nasi dagang awal-awal lagi aku dah siapkan...(paling sedap di Bachok).

Sehati sejiwa ahmad dan kakak nanan.
Beriadah di pagi raya kedua.
Menjelang tengahari aku mendengar kekecohan di dapur. Apa yang dibisingkan tu. Rupa-rupanya kakza kehilangan gelang emas semasa balik dari pantai pagi tadi. Kakza, rose, kak fatin dan izian bergegas ke pantai tuk mencari gelang yang jatuh entah mana-mana tu. Sayang sekali tidak ditemukan. Dari tempoh selepas kami mandi hingga ke tengahari aku jangkakan beratus-ratus pengunjung sudah bersilih ganti berkelah dan mandi manda tempat yang sama. Sememangnya rezeki lah kepada sesiapa yang menjumpainya.

Sesungguhnya che ning rasa bersalah pula kepada kakza kerana memujuk pergi mandi pantai kerana memenuhi janji dengan ahmad dan kak nanan. petang hari tu sekali lagi sebelum maghrib aku menyusuri kakza sepanjang jalan ke pantai mencari gelang emas yang hilang. Sesekali bertanya kepada diri sendiri apakah yang akan aku lakukan sekiranya tanpa disangka-sangka ketika berjalan di tepian pantai atau kat mana-mana saja ditakdirkan menjumpai sesuatu yang berharga...gelang emas bernilai RM6, 7 ribu...hmmmmm..

14 June 2018

UK'S Journey to Bandung

Assalamualaikum..

Tahun 2017 sekali lagi berkesempatan menjejakkan kaki ke tanah Indonesia. Kali ini destinasinya adalah Bandung. Terimakasih az kerana sudi menawarkan saya peluang ini. Kenangan bersama di sana kekal dalam sanubari ku. Terima kasih Pak Chu A kerana menganjurkan perjalanan ini yang agak murah kosnya ni.

                                                     Bersama sebahagian ahli rombongan

05 June 2018

BERAKHIRNYA SATU LAPIS GENERASI

Jumaat lepas pada tarikh 1 Jun 2018 bersamaan 16 Ramadhan  1439 H berakhir sudah keturunan anak -anak datuk dan nenek apabila perginya sesatunya mak saudaraku mengadap Ilahi. Tidak berkesempatan untuk aku membisikkan sekali lagi zikir-zikir penyubur jiwa ke telinganya buat kali terakhir. Adik beradik ibu 4 orang semuanya. 2 lelaki dan 2 perempuan. Kedua-dua bapa saudara pergi terlebih dahulu, ibu meninggal tahun 2004 pada usia 70-an dan kini Makngah  menyusul. Sejahterakanlah Ya Allah ibu dan adik-adiknya di sana. Dan bagi kami yang masih di sini, lapisan generasi anak-anak dan cucu cicit yang seterusnya, kurniakan kami keberkahan usia dan pandulah kami pada jalanMu.

28 May 2018

RAMADHAN 1439H

Assalamualaikum..

Hari ini hari ke 13 bulan Ramadhan, alhamdulillah Ya Allah memberikan kami rezeki merasai ni'mat dan rahmatMu di bulan yang mulia ini ya Allah. Ramadhan kali sedikit berbeza suasananya semenjak rakyat Malaysia memilih kepimpinan yang lain daripada tahun-tahun sebelum ini. Sampai ke hari ini masih terasa seolah-olah rakyat malaysia merayakan kemerdekaan apabila mereka berjaya merehatkan pemerintah terdahulu dan membuka jalan kepada pemerintah yang baru. Hari ini kita menghirup udara dalam malaysia baru. Semoga malaysia kekal aman dan sentosa. Semoga malaysia lebih makmur rakyatnya.

Sedar tak sedar Ahmad Khalis Ridha dah menginjak usia 6 tahun. Cepat masa berlalu. Dia pun sibuk sama semasa aku menjalankan kewajipan mengundi secara pos. Sedikit-sedikit aku cuba memahamkan dia tentang tanggungjawab mengundi untuk memilih pemimpin dan pemerintah. Aku perkenalkan dia kepada logo-logo parti yang bertanding yang ada di tepi tepi jalan. Sebebasnya aku membenarkan dia memilih sendiri logo yang disukai. Seronok betul dia walaupun tidak mengetahui isu-isu yang diperkata sebaliknya. Tak apa la Ahmad..dewasa nanti Ahmad akan tahu dan faham.

2018...tahun hampir 7 tahun aku berada di sekolah sekarang. Dalam 7 tahun ini aku telah merasai bekerja dengan 3 orang Ketua Jabatan. Pertama sudah pencen penghujung tahun 2016, yang kedua tak sempat setahun berada di sini bertukar pula ke sekolah lain. Kedua-duanya wanita. Kali ini aku menerima boss lelaki pula. Lelaki atau wanita takde bezanya padaku. Kerja tetap sama juga. Tahun depan mungkinkah aku masih di sini?